MAHFUZ (tengah) menyampaikan hadiah pada Majlis Penyerahan Hadiah Promosi Bayar & Menang PTPK di Hotel Seri Pacific. FOTO Mahzir Mat Isa
MAHFUZ (tengah) menyampaikan hadiah pada Majlis Penyerahan Hadiah Promosi Bayar & Menang PTPK di Hotel Seri Pacific. FOTO Mahzir Mat Isa
Hamizah Badiran


“TAK rugi saya hadir majlis ini apabila mendapat hadiah pertama motosikal bernilai ribuan ringgit,” kata Siti Mahuda Muhamad Yusoff, 28, yang membawa pulang motosikal Yamaha Y15ZR selepas memenangi cabutan hadiah Promosi Bayar dan Menang Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) Program Satu di sini, semalam.

Suri rumah menetap di Kampung Delek, Klang, Selangor itu berkata, dia tidak menyangka dapat memenangi hadiah utama selepas melunaskan baki pinjaman bernilai RM8,800 beberapa bulan lalu.

“Ini pertama kali saya menang hadiah begitu berharga dan tidak bercadang menjual motosikal itu, sebaliknya mahu menggunakannya bersama suami serta anak-anak.

“Terima kasih kepada PTPK dan langkah mereka menganjurkan program cabutan bertuah sebagai penghargaan kepada peminjamnya harus dipuji,” katanya selepas menerima hadiah berkenaan yang disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah PTPK, Mohamad Mohar Ibrahim dan Pengurus Besar (Pengurusan) PTPK, Mohd Fathullah Mustafa.

Bagi Muhammad Dzulfadli Muhammad Ishak, 34, pula, dia teruja kerana berjaya memenangi telefon pintar Samsung Galaxy S10 terbaru walaupun meletakkan harapan tinggi untuk membawa pulang hadiah utama.

Pemenang ketiga, Zul Azman Mohammad, 40, turut bersyukur dan menganggap komputer riba Asus yang dimenanginya itu adalah rezeki anak untuk digunakan bagi tujuan pendidikan.

Sementara itu, Fathullah berkata, majlis yang diadakan itu sebagai penghargaan kepada peminjam kerana menunaikan tanggungjawab mereka dengan membuat penyelesaian penuh bayaran balik jumlah pinjaman PTPK.

“Sepanjang tempoh tiga bulan promosi mulai 1 Julai hingga 30 September lalu, promosi itu mencatatkan kutipan bayaran balik sebanyak RM21.16 juta di mana ia menunjukkan peningkatan 14.67 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 830 akaun dengan bayaran balik RM2.38 juta layak disenarai pendek untuk mengikuti sesi cabutan.

“Justeru, dengan sambutan memberangsangkan ini, kami berbesar hati untuk melancarkan Promosi Bayar dan Menang Program Dua dengan objektif dan sasaran bayaran balik lebih besar untuk menggalakkan peminjam membayar balik pinjaman mereka,” katanya mengenai program itu yang berlangsung sehingga Mac 2020.

Menerusi promosi kali kedua itu, peminjam hanya perlu membayar minimum RM1,000 untuk melayakkannya mendapat satu penyertaan dalam cabutan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM80,000.

Sementara itu, Mahfuz memuji pendekatan mesra peminjam yang diambil PTPK bagi mendapatkan semula wang untuk dimanfaatkan pula kepada generasi seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:30 AM