AHMAD Dasuki (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan PTPTN Azhar Ahmad pada Majlis Perasmian Hari Mesra Pelanggan PTPTN di Menara PTPTN hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Dasuki (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan PTPTN Azhar Ahmad pada Majlis Perasmian Hari Mesra Pelanggan PTPTN di Menara PTPTN hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelbagai tawaran istimewa menanti peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Kempen Jom Bayar PTPTN yang diadakan buat julung kalinya sepanjang bulan ini.

Kempen bersempena dengan Hari Mesra Pelanggan agensi itu antara lain menawarkan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN hingga 15 peratus dan bayaran pendahuluan tunggakan minimum serendah RM300 untuk penstrukturan semula pinjaman bagi peminjam yang mempunyai tunggakan.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata PTPTN turut menganjurkan Cabutan Jom Bayar PTPTN yang menawarkan hadiah wang tunai hingga RM70,000 kepada 140 pemenang dan promosi cabutan bermula pada 1 hingga 31 Disember ini.

"Setiap negeri menawarkan 10 hadiah menarik kepada para pemenang. Syarat penyertaannya mudah iaitu peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman dalam tempoh promosi dengan bayaran minimum RM300 layak mendapat satu cabutan.

"Bukan itu sahaja, bersempena dengan kempen ini peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman akan diberikan cenderamata eksklusif PTPTN," katanya ketika berucap merasmikan Hari Mesra Pelanggan PTPTN di sini hari ini.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa mendukung hasrat kerajaan untuk memastikan kelestarian pendidikan tinggi dan setakat 30 Oktober lalu, sebanyak 3.92 juta pemohon sudah mendapat kelulusan pinjaman melibatkan keseluruhan peruntukan RM70.91 bilion.

Beliau berkata PTPTN juga terus komited untuk memastikan peminjam membuat bayaran balik pinjaman secara konsisten bagi kelangsungan dana untuk generasi akan datang.

"Inilah (kempen) peluang terbaik kepada semua peminjam untuk berunding dengan PTPTN, mereka bukan sahaja dapat menikmati diskaun bayaran balik pinjaman, malah turut berpeluang membuat penstrukturan semula pinjaman dengan tawaran lebih menarik.

"Peminjam berpeluang memenangi hadiah lumayan serta mendapat cenderamata eksklusif daripada PTPTN, manfaat 4 dalam 1 ini sangat berbaloi untuk para peminjam bersempena dengan Hari Mesra Pelanggan dan Kempen Jom Bayar PTPTN," katanya.

Hari Mesra Pelanggan PTPTN dilaksanakan secara serentak di semua pejabat PTPTN negeri dan cawangan seluruh negara bermula hari ini hingga 31 Disember.

Bagi memudahkan pelanggan berurusan sepanjang Hari Mesra Pelanggan, waktu operasi kaunter di pejabat PTPTN negeri dan cawangan di seluruh negara dilanjutkan mulai pukul 8.30 pagi hingga 6 petang termasuk Sabtu dari 9 pagi hingga 5 petang.

Peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN www.ptptn.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 2:49 PM