PEGAWAI PTPTN berurusan dengan peminjam  yang berunding dan membuat bayaran balik di pejabat cawangan klia2, semalam.
PEGAWAI PTPTN berurusan dengan peminjam yang berunding dan membuat bayaran balik di pejabat cawangan klia2, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Pembukaan pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini sejak 1 Mac lalu berfungsi menawarkan kemudahan segera kepada peminjam terutama yang berdepan sekatan dan senarai hitam imigresen untuk ke luar negara.

Ketua Eksekutif PTPTN Wan Ahmad Wan Yusoff berkata, cawangan ke-70 pejabat PTPTN itu beroperasi di Lot 3A, Balai Pelepasan, klia2 dan ia dibuka 24 jam sehari serta tujuh hari seminggu dan menawarkan kemudahan rundingan dan pemudahcara mengenai bayaran balik pinjaman.

Beliau berkata, empat pengurus cawangan dan lapan eksekutif pemasaran ditempatkan di pejabat berkenaan bagi membantu peminjam berurusan terutama bagi peminjam yang berdepan masalah senarai hitam imigresen.

“Peminjam boleh berbincang dengan pegawai PTPTN dengan lebih mudah dan cepat selaras kempen #BolehBincang yang dilancarkan Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Kami sentiasa terbuka dan memberikan ruang membantu menyelesaikan masalah bayaran balik peminjam PTPTN melalui saluran perbincangan termasuk di cawangan ini (klia2),” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pejabat berkenaan di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Bhd Datuk Abdul Aziz Bakar.

Kata beliau, pihaknya juga menasihatkan peminjam membuat semakan senarai hitam imigresen tiga jam sebelum berlepas bagi mengelak terlepas penerbangan dan pelbagai kesulitan lain.

Wan Ahmad berkata, mana-mana peminjam yang berdepan senarai hitam boleh menghubungi talian 017-2493000, 017-2763000 dan 017-285300 bagi membuat perbincangan dan rundingan atau hadir ke pejabat PTPTN Cawangan klia2 untuk berurusan.

“Sejak 1 Mac lalu, 300 peminjam berurusan di pejabat PTPTN berkenaan bagi berunding mengenai kaedah bayaran balik pinjaman,” katanya.

Katanya, pembukaan cawangan berkenaan pembaharuan diperkenalkan pihaknya bagi memudahkan peminjam hasil kerjasama AirAsia Bhd dan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).

“Menerusi kerjasama itu, peminjam berpeluang membuat bayaran balik PTPTN menggunakan Kad Prabayar Mastercard BIG AirAsia apabila satu mata ganjaran diberikan bagi setiap RM2 bayaran balik pinjaman.

“Promosi cabutan bertuah juga dilakukan selama tiga bulan bagi pemegang kad berkenaan yang menawarkan hadiah 100,000 mata ganjaran AirAsia Big,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap kaedah pembayaran menggunakan kad prabayar berkenaan meningkatkan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam PTPTN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:23 AM