AHMAD Dasuki  (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi PTPTN,  Mastura Mohd Khalid (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan PTPTN Azhar Ahmad pada Majlis Pelancaran  Kempen Jom Bayar PTPTN sempena Hari Mesra Pelanggan di Menara PTPTN, semalam.
AHMAD Dasuki (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan PTPTN Azhar Ahmad pada Majlis Pelancaran Kempen Jom Bayar PTPTN sempena Hari Mesra Pelanggan di Menara PTPTN, semalam.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jangan lepaskan peluang untuk membuat rundingan bagi mendapatkan pelbagai manfaat termasuk diskaun sehingga 15 peratus.

Ia adalah sejajar dengan kempen Jom Bayar PTPTN sempena Hari Mesra Pelanggan bermula 12 hingga 31 Disember ini.

Menerusi kempen itu juga peminjam yang mempunyai tunggakan boleh membuat bayaran pendahuluan tunggakan minimum sebanyak RM300 sahaja untuk membuat penstukturan semula pinjaman.

Tidak sekadar itu, peminjam juga layak menyertai Cabutan Jom Bayar PTPTN yang menawarkan hadiah tunai RM70,000 kepada 140 pemenang sepanjang tempoh 1 hingga 31 Disember ini.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, peminjam yang membuat pembayaran balik turut diberi penghargaan cenderamata eksklusif PTPTN sepanjang kempen itu berlangsung.

Tambahnya, syarat penyertaannya juga mudah apabila peminjam hanya perlu membuat bayaran balik pinjaman dalam tempoh promosi dengan bayaran minimum RM300 bagi semua saluran bayaran balik sekali gus layak mendapat satu cabutan.

"Lebih menarik, bagi peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman melalui aplikasi myPTPTN akan mendapat bilangan cabutan berganda. Oleh itu, manfaatkanlah myPTPTN dan anda akan mendapat lebih banyak peluang untuk menang," katanya pada Majlis Perasmian Hari Mesra Pelanggan PTPTN di sini, semalam.

Ahmad Dasuki berkata, selari dengan komitmen PTPTN dalam menggalakkan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, Hari Mesra Pelanggan PTPTN dilaksanakan secara serentak di semua Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan seluruh negara bermula semalam.

Waktu operasi kaunter di Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan seluruh negara dilanjutkan mulai jam 8.30 pagi hingga 6 petang termasuk hari Sabtu daripada jam 9 pagi hingga 5 petang. Ini bagi memudahkan pelanggan berurusan sepanjang Hari Mesra Pelanggan.

"PTPTN sentiasa berusaha mencari langkah terbaik melalui pendekatan lebih mesra pelanggan agar tampil berunding dengan PTPTN. Sekali gus, memastikan kutipan bayaran balik pinjaman terus meningkat.

"Antara strategi dan langkah proaktif dilaksanakan PTPTN adalah dengan memperkenalkan inisiatif yang membuka peluang kepada semua peminjam untuk datang mendapatkan maklumat dengan PTPTN, mempergiatkan pelaksanaan kempen dan promosi bagi mengalakkan bayaran balik pinjaman, mempelbagaikan saluran bayaran balik secara dalam talian, meningkatkan program-program kesedaran dan sebagainya," katanya.

Setakat 31 Oktober 2023, seramai 2.25 juta peminjam atau 83.05 peratus yang sepatutnya membuat bayaran balik mula membuat bayaran balik pinjaman mereka. Manakala dalam tempoh sama, seramai 3.92 juta peminjam diluluskan pinjaman PTPTN dengan jumlah pinjaman dikeluarkan sebanyak RM70.91 bilion. Katanya, PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memainkan peranan penting dalam mendukung hasrat kerajaan untuk memastikan kelestarian dan akses kepada pendidikan tinggi.

"Inilah peluang terbaik kepada semua peminjam untuk berunding dengan pegawai PTPTN. Peminjam bukan sahaja dapat menikmati diskaun bayaran balik pinjaman, malah berpeluang membuat penstrukturan semula pinjaman dengan tawaran yang lebih menarik, berpeluang memenangi hadiah lumayan serta mendapat cenderamata eksklusif daripada PTPTN. Manfaat 4 dalam 1 ini sangat berbaloi untuk para peminjam sempena Hari Mesra Pelanggan dan Kempen Jom Bayar PTPTN," ujar beliau lagi.

Terdapat lima kategori barisan hadapan yang boleh dihubungi peminjam iaitu pusat panggilan di talian 03 - 2193 3000, live chat di Portal PTPTN (www.ptptn.gov.my), Eksekutif Pemasaran PTPTN, eAduanPTPTN dan Media sosial (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).

Kesemua platform ini sejajar dengan inisiatif #PTPTNSediaBantu yang dilaksanakan oleh PTPTN bagi membantu memudahkan para peminjam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau urusan berkaitan bayaran balik pinjaman. Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 7:02 AM