Dua beranak yang ditahan polis dan barangan milik mangsa serta motosikal dipercayai digunakan ketika kejadian curi di Taman Geliga, Chukai. Foto Ihsan PDRM
Dua beranak yang ditahan polis dan barangan milik mangsa serta motosikal dipercayai digunakan ketika kejadian curi di Taman Geliga, Chukai. Foto Ihsan PDRM
Norizuan Shamsuddin


NEKAD lari menerusi bumbung rumah sehingga jatuh di kediaman jiran di Kampung Paya Berenjut, Chukai ketika cuba meloloskan diri daripada polis.

Itu tindakan dilakukan remaja berusia 17 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian curi di sebuah kedai makan di Taman Geliga kelmarin.

Bagaimanapun, cubaannya itu tidak berhasil apabila remaja berkenaan berjaya ditahan polis.

Polis turut menahan bapa remaja terbabit berusia 55 tahun kerana enggan memberikan kerjasama serta cuba melindunginya daripada ditahan.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek dipercayai terbabit kes curi beg mengandungi wang tunai RM750, dua telefon pintar, kad bank dan dokumen peribadi milik pengusaha kedai makan dalam kejadian pada 6.40 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek memasuki premis perniagaan terbabit dan mengambil beg yang berada di kaunter sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

“Susulan itu, pihak polis melakukan serbuan di sebuah kediaman rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Paya Berenjut pada 10.30 pagi.

“Remaja berkenaan yang menyedari kehadiran polis di rumah itu melarikan diri menerusi bumbung rumah.

“Bagaimanapun, dia terjatuh di atas katil kediaman jiran selepas bumbung berkenaan pecah sebelum di tahan polis,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian turut menyebabkan bumbung beberapa kediaman sekitar kawasan terbabit rosak kerana tindakan suspek itu.

“Hasil penahanannya itu, polis merampas tiga telefon pintar, dompet, beg silang, wang tunai sebanyak RM500, kad bank, dokumen peribadi milik mangsa dan motosikal disyaki digunakan ketika kejadian.

“Kedua suspek terbabit kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 3:27 PM