PIHAK berkuasa melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. FOTO Agensi
PIHAK berkuasa melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Bunuh pelancong dan curi 6.50 pound sterling (RM38).

Itu yang dilakukan seorang pemuda Thailand kepada pelancong wanita Switzerland ketika mangsa mengunjungi air terjun popular di Phuket.

Susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai mencekik serta membunuh pelancong berusia 57 tahun berkenaan.

Mangsa dikenal pasti sebagai Nicole Sauvain-Weisskopf ditemukan mati, Khamis lalu, berhampiran air terjun terpencil, tetapi popular di selatan Phuket.

Seluar pendek, telefon pintar, dan pasport wanita itu dijumpai berhampiran mangsa yang dipercayai sudah tiga hari meninggal dunia.

Menurut media Switzerland, lelaki itu mengumpulkan tanaman eksotik ketika dia melihat Nicole berenang di air terjun dan berusaha mencuri barang-barangnya.

Ia menyebabkan suspek dan wanita itu bertengkar yang membawa kepada kematian mangsa, kata polis.

Lelaki itu kemudian mengeluarkan wang tunai dari beg galas mangsa, selepas menutup mayat dengan kain tarpaulin berwarna hitam.

Ketika disoal siasat, lelaki itu mengaku melakukan jenayah berkenaan, lapor News.com.au.

"Punca kematian masih belum dapat dipastikan dan bedah siasat masih belum selesai," kata jurucakap polis Krisana Pattanacharoen.

Ketika ditangkap, lelaki itu meminta maaf kepada keluarga pelancong berkenaan dan memohon rakyat Thailand memaafkannya.

Wanita itu berada di Thailand ketika Phuket Sandbox iaitu inisiatif diperkenalkan bagi membolehkan pelancong asing yang divaksinasi mengunjungi pulau peranginan itu.

Dengan pelancongan menjadi industri yang sangat penting bagi Thailand, skim itu diharapkan dapat meningkatkan jumlah pelancong di Phuket yang merudum sejak pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 6:50 AM