SCORPENE ketika belayar membawa Zulkifli dengan diiringi Mohd Reza (gambar kecil) di perairan Laut China Selatan.
SCORPENE ketika belayar membawa Zulkifli dengan diiringi Mohd Reza (gambar kecil) di perairan Laut China Selatan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KAPAL selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih mampu melaksanakan peranannya dengan baik dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut, dalam satu kenyataan berkata, aset kapal selam TLDM beroperasi sepenuhnya dan difokuskan kepada eksesais secara dua hala atau gabungan aset ketenteraan luar.

“Sehingga hari ini, kru kapal selam sudah mencatatkan rekod lebih 11,600 jam menyelam bersama kapal selam.

“Jadi, bagaimana ada pihak mengatakan kapal selam negara tidak boleh menyelam. Seharusnya, masyarakat Malaysia perlu memberi sokongan kepada anggota TLDM yang sentiasa berkorban apa sahaja demi mengawasi perairan negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Scorpene adalah kapal selam unik kerana teknologi digunakan menyamai teknologi kapal selam nuklear jenis Le Triomphant milik Tentera Laut Perancis.

“Konsep, ciri dan reka bentuk kapal selam ini menjadikan ia digeruni pihak lawan dan mewujudkan faktor cegah rintang, sejajar dengan dasar pertahanan negara dan strategik pertahanan maritim yang digariskan.

“Ia mampu menyekat jalur perhubungan laut bagi menghalang pergerakan logistik musuh atau menangani ancaman kapal musuh yang mencabar kedaulatan dengan senjata moden termasuk misil dan torpedo yang dilancarkan dari bawah permukaan laut,” katanya.

Katanya, terbaru Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dengan diiringi Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany bersama menaiki kapal selam KD Tunku Abdul Rahman (TAR) di Perairan Laut China Selatan, semalam.

“TLDM sebagai sebahagian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan pertahanan laut dan pelengkap dalam menjaga kedaulatan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 7:51 PM