AHMAD Kamarulzaman (kiri) ketika sidang media  di The Royale Chulan Hotel.
AHMAD Kamarulzaman (kiri) ketika sidang media di The Royale Chulan Hotel.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Kebocoran data sensitif berhubung kemampuan kapal selam Scorpene dibina syarikat pertahanan DCNS Perancis seperti dilaporkan media antarabangsa tidak ada kaitan sepenuhnya dengan kapal selam Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kapal selam milik TLDM mempunyai spesifikasi berbeza daripada kapal dimiliki Tentera Laut India.

“Kapal selam TLDM dibina oleh syarikat sama namun mempunyai perbezaan dari segi ciri-cirinya, spesifikasi dan kebolehan.

“Bagaimanapun kita harus meneliti laporan berkenaan terlebih dahulu dan mengesahkannya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dengan Bousted Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) di The Royale Chulan Hotel, di sini, semalam.

Media Australia melaporkan data sensitif berhubung kemampuan kapal selam Scorpene yang dibina syarikat kapal Perancis itu mengalami kebocoran secara besar-besaran sebanyak 22,400 muka surat.

Rekaan kapal selam itu dikatakan mempunyai kelas yang sama dengan kapal selam milik TLDM iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang beroperasi di perairan Kota Kinabalu, Sabah.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum semalam turut dilaporkan berkata, laporan media antarabangsa itu perlu disiasat bagi mengesahkan kesahihannya.

Beliau berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana maklumat ketenteraan terhadap aset strategik negara sentiasa dikawal rapi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 6:19 AM