ABDUL Aziz bertemu wartawan Harian Metro pada majlis makan malam bersama media.
ABDUL Aziz bertemu wartawan Harian Metro pada majlis makan malam bersama media.

Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan enam lagi kapal laut bertujuan membantu angkatan keselamatan itu menjalankan operasi di perairan negara dengan lebih berkesan.

Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, hingga kini TLDM mempunyai 44 kapal dalam melaksanakan lapan operasi di seluruh perairan negara secara berterusan.

Beliau berkata, penambahan aset TLDM terutama aset yang beroperasi di kawasan kritikal penting untuk mengelakkan pencerobohan di kawasan perairan negara selain jenayah merentasi sempadan akhir-akhir ini.

“Pada kebiasaannya, satu kapal diperlukan dalam satu operasi. Ini tidak termasuk kapal yang perlu diselenggara secara berjadual. Bagi kawasan operasi yang besar seperti di perairan pantai timur Sabah, TLDM memerlukan sekurang-kurangnya tiga kapal lagi.

“Kekurangan kapal TLDM ini dibimbangi diambil kesempatan pihak musuh untuk menceroboh kedaulatan negara,” katanya dalam sidang media selepas tamat majlis makan malam media bersama TLDM di sini, kelmarin.

Abdul Aziz berkata, pada masa sekarang pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pernguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam memantau perairan negara melalui udara.

Katanya, TLDM sentiasa mempunyai pendekatan holistik dan memastikan perairan negara bebas daripada ancaman musuh.

Sebelum ini, KD Perantau yang juga kapal hidrografi mengalami kebanjiran pada 18 November lalu ketika menjalani penyelenggaraan di Limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) di Lumut, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 5:11 AM