Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Hadzlihady Hassan


SEORANG lagi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pemilik lori di negeri itu.

Pegawai JPJ berusia 52 tahun itu hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 10 pagi dalam keadaan mulut berjahit akibat kecederaan selepas terbabit kemalangan jalan raya.

Dia sepatutnya hadir memberi keterangan bersama 21 lagi pegawai JPJ yang ditahan dalam fasa ketiga April lalu namun tidak berbuat demikian kerana terbabit kemalangan.

Sumber berkata, SPRM akan merakam percakapan pegawai itu dan dia dijangka dibebaskan hari ini.

“Pegawai itu sebelum ini dikecualikan hadir memberi keterangan di pejabat SPRM kerana masih dalam tempoh cuti sakit.

“Kita akan mengambil keterangannya sebagai suspek dan dia dijangka dibebaskan petang ini,” katanya.

Sumber berkata, SPRM turut memanggil Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor untuk dirakam percakapan semalam.

“Kita hanya merakam percakapan Mohamat Johari sebagai saksi dan tidak bercadang memanggil beliau semula.

“Buat masa ini, kita juga tidak bercadang memanggil mana-mana bekas pengarah JPJ Pulau Pinang yang lain,” katanya.

Pada 23 April lalu, dua daripada 21 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang bagi kumpulan ketiga yang diarah menghadiri sesi rakaman percakapan di pejabat SPRM negeri di sini diberi pengecualian daripada menjalani sesi berkenaan.

Seorang daripadanya dikecualikan kerana mengalami kecederaan akibat kemalangan manakala seorang lagi ditahan dalam penjara di Indonesia kerana kes dadah.

Berita berkaitan

[UPDATE] Penahanan 22 lagi anggota JPJ di luar jangka [METROTV]

Panggil 'bos' JPJ Pulau Pinang jika perlu - SPRM

[UPDATE] 'Kerja seperti biasa'

[UPDATE] 'Tiada kompromi pegawai terbabit rasuah'

[UPDATE] 'Operasi JPJ Pulau Pinang tak lumpuh' [METROTV]

Sticker 'kebal'

24 anggota JPJ direman tujuh hari [METROTV]

Bas SPRM bawa tahanan terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 3:13 PM