PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Hairulazim Mahmud


TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan tidak akan memecat mana-mana pegawai kanan kerajaan selagi mereka tidak melampaui batas.

Perdana Menteri berkata demikian mengulas desakan pembangkang supaya memecat Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang didakwa merosakkan integriti Jabatan Peguam Negara berkaitan beberapa kes penting.

“Kerja saya bukan pecat orang, tapi saya hanya akan pecat sekiranya sesuatu yang sangat serius berlaku.

“Walaupun ada pihak minta saya pecat orang itu, orang ini. Saya tidak akan pecat atas desakan orang lain semata-mata,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Bangunan Putra Perdana di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memecat Thomas atas alasan campur tangan dalam beberapa proses pendakwaan.

Beliau berkata dalam perkembangan terbaru Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menggugurkan dua pertuduhan membabitkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) DAP yang didakwa kerana memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menegaskan Malaysia kekal dengan prinsip tidak akan mencampuri hal ehwal dalaman negara lain khususnya dalam kalangan anggota ASEAN.

Ketika mengulas mengenai tindakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan pemimpin pembangkang Kemboja, Mu Sochua di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, malam tadi, beliau berkata Malaysia mahu mengusir wanita itu.

“Orang suruh dia masuk ke negara ini tapi sekarang kita sedang berusaha mencari negara yang boleh menerimanya,” katanya.

Mu Sochua ialah Naib Presiden Parti Pembebasan Kebangsaan Kemboja(CNRP) yang diharamkan di negara itu.

Memetik laporan Reuters, penahanan dua aktivis pembangkang negara itu dibuat menjelang kepulangannya dan pengasas CNRP, Sam Rainsy daripada buangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 6:07 PM