Phnom Penh: Perdana Menteri Kemboja Hun Sen (gambar) semalam mengancam merampas hartanah milik pemimpin parti pembangkang Sam Rainsy dan menjual ibu pejabat parti itu jika ia menang kes saman terhadap ahli politik yang hidup dalam buangan itu.

Saman AS$1 juta (RM4.43 juta) itu adalah kes guaman terbaru menyasarkan pemimpin pembangkang Kemboja.

Kumpulan berhaluan kanan menyifatkan tindakan Hun Sen itu bertujuan memberi tekanan kepada pembangkang menjelang pilihan raya tempatan tahun ini dan pilihan raya umum tahun depan.

Hun Sen memfailkan saman malu terbaru itu terhadap musuh ketatnya Rainsy kerana menuduhnya rasuah beberapa minggu lalu.

“Saya menanti keputusan kes itu. Kali ini saya menuntut ganti rugi AS$1 juta.

“Saya diberitahu ibu pejabat parti itu didaftarkan di bawah nama Sam Rainsy. Saya akan lelong bangunan itu. Harta peribadinya akan dibekukan dan dijual. Duitnya akan digunakan untuk membina rumah bagi mereka yang kurang upaya,” kata Hun Sen di Parlimen.

Rainsy yang kini menetap di Perancis dan berdepan beberapa kes mahkamah, dihukum penjara lima tahun kerana kenyataannya dalam Facebook, tahun lalu. Hukuman itu tidak memungkinkan dia pulang semula ke Phnom Penh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 6:38 AM