Hun Sen pertahan anaknya, Hun Manet (tengah) memegang jawatan kanan tentera. FOTO AFP
Hun Sen pertahan anaknya, Hun Manet (tengah) memegang jawatan kanan tentera. FOTO AFP
Reuters

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, mempertahankan langkah memberi jawatan kanan kepada tiga anaknya dalam jabatan kerajaan dan tentera atas alasan mereka memiliki tahap pendidikan dan kelayakan diperlukan.

“Semua mereka memiliki ijazah, sijil sarjana muda dan doktor falsafah. Kenapa kita mahu kelayakan mereka dibazirkan?

“Saya wajar mencari kerja untuk mereka,” kata Hun Sen, 66, ketika berucap di satu majlis anugerah pelajar sekolah tinggi di ibu negara, Phnom Penh, hari ini.

Dua daripada anak lelaki Hun Sen memegang jawatan kanan tentera. Anak lelaki ketiga beliau adalah anggota Parlimen dan mempengerusikan Suruhanjaya mengenai belia dan sukan di Parlimen.

Pengkritik Hun Sen berkata, pelantikan berkenaan bertujuan memperkukuh kawalan pemimpin berusia 66 tahun itu ke atas pentadbiran kerajaan dan ekonomi negara.

Ia berikutan suasana menjadi tegang susulan daripada keputusan pilihan raya umum pada Julai lalu apabila Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen menang kesemua 125 kerusi Parlimen.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara Barat mempertikai keputusan pilihan raya itu dengan menyifatkan ada kelemahan dalam pengundian kerana tiada pembangkang kuat di Parlimen.

Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) dibubarkan lewat tahun lalu sebelum pilihan raya bermula dan ada beberapa pemimpinnya ditahan.

Kesatuan Eropah telah memulakan prosedur rasmi yang mungkin menyebabkan Kemboja dilucutkan status sebagai lokasi perdagangan khas berikutan kebimbangan mengenai aspek hak asasi manusianya.

Kemboja pula membalas dengan mengecam EU kerana mengenakan tekanan ke atas pihak yang taktik menindas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 8:19 PM