BERNAMA

SEPULUH orang termasuk tekong dan seorang wanita dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia ditahan ketika cuba menjalankan aktiviti penyeludupan migran di Selatan Tanjung Ayam, di kedudukan 3.6 batu nautika perairan Pengerang, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, PATI yang berumur lingkungan 14 hingga 43 tahun itu ditahan pada 10.20 malam selepas pihaknya berjaya memintas bot berkenaan yang enggan memberi kerjasama sewaktu diminta berhenti untuk pemeriksaan.

Zulfadli berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 serta Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan dan menjalankan aktiviti penyeludupan migran yang jika didapati bersalah mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihati warga Indonesia yang ingin ke Malaysia atau pulang ke kampung halaman supaya menggunakan laluan yang sah (mengikut undang-undang) tanpa perlu menggadai nyawa.

“Kawalan keselamatan juga akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran yang menggunakan laluan laut untuk masuk dan keluar memandangkan, cara ini amat berbahaya dan sindiket penyeludupan manusia dilihat tidak menghargai nyawa penumpang mereka demi keuntungan semata-mata,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 1:06 PM