KAPAL berdaftar di Jakarta, Indonesia yang ditahan APMM semalam. FOTO Ihsan APMM.
KAPAL berdaftar di Jakarta, Indonesia yang ditahan APMM semalam. FOTO Ihsan APMM.
Oleh Ibrahim Isa


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan kapal jenis Motor Tanker (MT) kerana berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Johor Timur, Johor Bahru, semalam.

Pengarah APMM ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal itu ditahan pada 12.10 tengah hari di kedudukan 13.5 batu nautika dari Timur Tanjung Penawar.

“Hasil pemeriksaan, kami dapati kapal dengan tanda nama ERICA 10 sepanjang 112 meter dan berdaftar di Jakarta, Indonesia tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia.

“Kapal itu dikendalikan 20 kru termasuk nakhoda (Master) berusia antara 22 hingga 53 tahun, semuanya warganegara Indonesia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut,” katanya.

Menurutnya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Zulfadli berkata, kapal itu yang kelima ditahan pihaknya sepanjang Oktober dan September lalu di perairan Beting Timur, Tompok Utara dan Beting Ramunia pada kedudukan antara tujuh hingga 20 batu nautika dari Timur Tanjung Penawar.

Katanya, kesemua kapal yang ditahan membabitkan kesalahan sama dan ia adalah sebahagian daripada langkah pencegahan kecurian ke atas kapal dan rompakan di laut kerana APMM menerima enam aduan kejadian itu sebelum ini.

“Ingin saya ingatkan, perairan Permatang Timur, Beting Ramunia dan Tompok Utara masih berada dalam perairan Malaysia dan bukannya perairan antarabangsa, walaupun jaraknya melebihi 12 batu nautika dari darat berhampiran.

“Semua kapal yang melalui perairan itu diberikan amaran sama ada melalui IMB Piracy Alert dan Navigational Telex (NAVTEX) sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.

Untuk itu katanya, semua kapal yang mahu berlabuh perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Laut Malaysia atau segera beredar bagi mengelak dikenakan tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 5:14 PM