ANTARA PATI yang ditahan APMM dan Jabatan Imigresen.
ANTARA PATI yang ditahan APMM dan Jabatan Imigresen.
Nurul Amanina Suhaini


REMPUH bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam usaha melarikan diri sebaik dikesan pihak berkuasa.

Itu tindakan nekad tekong bot yang sarat membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia berhampiran perairan Desaru di sini, malam kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan, berkata, bot suspek kemudian berpatah balik bagi mengelak ditahan.

Katanya, rempuhan itu menyebabkan kerosakan teruk bot milik APMM.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menahan 46 PATI yang cuba menyusup keluar menerusi perairan Desaru.

Operasi yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor membabitkan dua serbuan berasingan sebelum semua warga Indonesia berkenaan ditahan.

“Bertindak atas maklumat awam, serbuan pertama dilakukan jam 8.40 malam kelmarin, ketika semua suspek cuba menaiki bot di perairan Desaru.

“Mereka disyaki cuba keluar dari Malaysia menerusi kawasan tidak diwartakan,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati ada 22 PATI membabitkan 14 lelaki dan lapan wanita.

Katanya, mereka ditahan dalam belukar dan pantai berhampiran Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara, Desaru.

Katanya, dalam serbuan kedua jam 10 pagi semalam, seramai 24 PATI ditahan di lokasi sama, hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Balai Bandar Penawar.

“Mereka yang ditahan berusia 19 hingga 40 tahun. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 / 63 serta Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu cuba keluar atau memasuki Malaysia menerusi pintu tidak diwartakan serta menjalankan penyeludupan migran.

“Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman atau datang ke Malaysia dinasihatkan menggunakan laluan sah (mengikut undang-undang) atau membuat proses dokumentasi di kedutaan Indonesia dan Pejabat Imigresen Malaysia supaya dapat pulang dengan selamat.

“Maritim Malaysia dan JIM akan meneruskan operasi bagi membendung aktiviti penyeludupan migran yang menggunakan laluan laut untuk keluar dan masuk.

“Cara ini amat berbahaya dan sindiket penyeludupan manusia tidak menghargai nyawa penumpang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 5:31 AM