Pasangan warga emas OKU diselamatkan bomba selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. FOTO Ihsan JBPM
Pasangan warga emas OKU diselamatkan bomba selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. FOTO Ihsan JBPM
Muhammad Apendy Issahak


PASANGAN warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) diselamatkan pasukan bomba susulan kediaman mereka di Taman Perpaduan, Tambun dilanda banjir kilat hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6.15 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh ke lokasi.

Menurutnya, rumah didiami suami isteri OKU itu dinaiki air 0.3 meter dan pasangan terbabit perlu dipindahkan bagi tujuan keselamatan.

“Mangsa lelaki warga emas berusia 76 tahun kategori cacat penglihatan manakala isterinya 76 tahun juga kategori sama serta strok.

“Pasangan itu dikeluarkan bomba untuk dipindahkan ke inap desa berhampiran,” katanya dalam kenyataan.

Keadaan rumah mangsa yang dinaiki air. FOTO Ihsan JBPM
Keadaan rumah mangsa yang dinaiki air. FOTO Ihsan JBPM

Menurutnya, banjir kilat itu setakat ini hanya menjejaskan sebuah rumah di kawasan berkenaan dan operasi diketuai Timbalan Penguasa Bomba, Azman Hussin@Hassan masih dijalankan.

Difahamkan hujan lebat petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan di Ipoh mengalami banjir kilat antaranya Medan Gopeng, Sungai Rokam dan Tambun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 10:56 PM