ANGGOTA bomba memberi bantuan kepada mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Terowong Menora Lebuhraya Utara-Selatan arah hala utara, dekat Ipoh, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memberi bantuan kepada mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Terowong Menora Lebuhraya Utara-Selatan arah hala utara, dekat Ipoh, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Jalal Ali Abdul Rahim


LELAKI dipercayai warga Singapura maut, manakala seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Terowong Menora Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Ipoh, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya menerima maklumat kejadian, jam 5.18 pagi.

“Anggota yang tiba di lokasi mendapati seorang lelaki dan wanita warga Singapura dipercayai terbabit dalam kemalangan.

“Lelaki dewasa berkenaan maut di tempat kejadian dan kematian disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.

“Mangsa wanita bagaimanapun hanya cedera ringan,” katanya.

MOTOSIKAL berkuasa tinggi yang dinaiki mangsa. FOTO Ihsan JBPM
MOTOSIKAL berkuasa tinggi yang dinaiki mangsa. FOTO Ihsan JBPM

Menurutnya, pihak bomba membantu mengangkat mayat lelaki berkenaan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 10:07 AM