FAUZIAH yang ditemui mati di rumahnya di Kampung Banggol, Jeneri, Sik.
FAUZIAH yang ditemui mati di rumahnya di Kampung Banggol, Jeneri, Sik.
Mohd Rizal Abdullah


“SAYA akan berbincang bersama pihak polis sama ada mahu kes ini disiasat semula atau sebaliknya,” kata Hamzah Alias, 50, suami kepada Fauziah Yop, 46, yang ditemui mati di rumahnya di Kampung Banggol, Jeneri, petang semalam.

Fauziah disahkan meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan polis mengklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Bagaimanapun, Hamzah berkata, dia menerima laporan bedah siasat dibuat di Hospital Sultanah Bahiayah (HSB) Alor Setar.

“Saya menerima keputusan pihak hospital.

“Saya berpendapat doktor berpandangan arwah kemungkinan terkejut apabila ada individu menceroboh masuk ke rumah,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, setakat ini dia belum bertemu pihak polis untuk berbincang mengenai kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut selain tiada unsur jenayah.

“Saya akan berbincang mengenai perkara itu dengan polis,” kata bapa kepada tiga anak.

Hamzah yang ketika ditemui sebelum ini mengakui bilik arwah dalam keadaan berselerak selain mendakwa terdapat beberapa barangan kemas yang hilang.

“Ketika saya pulang ke rumah, saya melihat pintu rumah dalam keadaan terbuka.

“Apabila saya masuk ke bilik, saya melihat arwah keadaan terlungkup dengan bahagian tubuh berada di atas katil.

“Selain itu, keadaan bilik berselerak seolah diselongkar selain kehilangan beberapa barang berharga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, ketika dihubungi, mengesahkan kes berkenaan sebagai kematian mengejut dan tiada siasatan lanjut akan dilakukan.

Berita berkaitan

Guru meninggal sebab masalah jantung

Guru maut: Polis tunggu laporan bedah siasat

Pangku mayat isteri sambil menangis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 5:35 PM