Anggota polis mengangkat jenazah yang ditemui di bilik hotel. (Gambar kecil) Allahyarham Marzuki. FOTO Azahar Hashim
Anggota polis mengangkat jenazah yang ditemui di bilik hotel. (Gambar kecil) Allahyarham Marzuki. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim


Kulim: Seorang guru agama meninggal dunia di sebuah hotel, di sini, dipercayai akibat sakit jantung, pagi tadi.

Allahyarham Marzuki Hamzah, 57, ditemui terbaring di katil oleh kakitangan hotel kira-kira jam 7.30 pagi.

Difahamkan mangsa bertugas sebagai guru agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kob, di sini, dan dipercayai menyewa bilik di hotel itu berseorangan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut sumber, pemandu teksi yang sering mengambilnya untuk ke tempat kerja berasa pelik apabila mangsa tidak muncul sebelum memaklumkan kepada kakitangan hotel.

"Kakitangan hotel kemudian mendapati mangsa tidak bergerak sebelum menghubungi Hospital Kulim dan mengesahkan dia sudah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, polis menerima panggilan jam 8.25 pagi dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah.

"Mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 4:08 PM