ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran bas henti-henti di simpang tiga FELDA Chiku 1, Gua Musang, malam ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran bas henti-henti di simpang tiga FELDA Chiku 1, Gua Musang, malam ini. FOTO ihsan bomba.
Ramli Ibrahim


SEBUAH bas henti-henti dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang terbakar berhampiran simpang tiga FELDA Chiku 1, Gua Musang, malam ini.

Kejadian berlaku pada 8 malam ketika bas terbabit dalam perjalanan menghantar penumpang di FELDA Chiku 1.

Sebaik tiba di lokasi itu, tiba-tiba bahagian hadapan bas berasap sebelum pemandu mengarahkan tiga penumpang menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.02 malam.

Katanya, seramai 10 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi dan sebaik tiba api sedang marak membakar bas terbabit.

“Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa 20 minit dan keadaan kenderaan itu selepas itu hanya tinggal rangka.

“Kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian ditanggung pemilik bas berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 11:40 PM