Rajab menunjukkan motosikal dan rangka motosika curi yang dirampas. FOTO Ramli Ibrahim
Rajab menunjukkan motosikal dan rangka motosika curi yang dirampas. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Empat remaja berusia 16 tahun termasuk dua yang masih bersekolah ditahan kerana terbabit jenayah curi motosikal di Felda Chiku 3, di sini dan sekitarnya.

Mereka daripada Geng Pok Ya ditahan dalam operasi dijalankan bermula 27 Julai hingga Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan kes kecurian motosikal tinggi di Felda Chiku 3 dan Felda Aring 1 dijadikan markas operasi.

"Hasil siasatan, anggota mengesan seorang daripada remaja itu yang ditahan di rumahnya di Felda Chiku 3. Ditemui di rumahnya beberapa motosikal curi.

"Penahanannya membawa kepada tangkapan tiga lagi ahli kumpulan dan penemuan motosikal dan rangka yang dibuang di Sungai Aring 1," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, di sini, hari ini.

Rajab Ahad berkata, pihaknya merampas 14 motosikal curi termasuk yang dalam proses untuk dileraikan selain lima rangka.

Susulan itu, semua remaja terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 6:56 PM