ROHANIYAH meninggal dunia selepas motosikal ditunganggnya dirempuh bas sekolah dari arah belakang di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
ROHANIYAH meninggal dunia selepas motosikal ditunganggnya dirempuh bas sekolah dari arah belakang di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Ramli Ibrahim


WANITA maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar bas sekolah di Kilometer (KM) 43 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi berhampiran Rancangan Tanah FELDA Chiku 3 itu, Rohaniyah Ab Razak, 55, yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pemandu bas sekolah tanpa penumpang, Muhammad Asyraf Mohd Azmi, 24, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Gua Musang.

Beliau berkata, bas sekolah dari arah sama melanggar mangsa dari belakang ketika motosikal itu mahu masuk ke simpang kanan menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Belukar, Gunong, Bachok, parah di kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 9:51 PM