Keadaan banjir di Pendang berikutan hujan lebat sejak semalam. FOTO Ihsan APM
Keadaan banjir di Pendang berikutan hujan lebat sejak semalam. FOTO Ihsan APM
BERNAMA

JUMLAH mangsa banjir di Pendang meningkat kepada 40 orang daripada 15 keluarga yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Pendang setakat 10 malam ini.

Pegawai Daerah Pendang merangkap Pengerusi Bencana daerah Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata, sebelum ini 28 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan 2.15 petang tadi.

“Air turun dari bahagian hulu menyebabkan Sungai Pendang melimpah dan menenggelamkan rumah penduduk di tepi sungai sebelum mereka dipindahkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke PPS bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya malam ini.

Beliau berkata, semua mangsa dari Mukim Ayer Puteh, Mukim Padang Pusing, Mukim Bukit Raya dan Mukim Guar Kepayang.

Sementara itu, di Kulim, 22 mangsa daripada enam keluarga turut dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Junjung yang dibuka 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, mangsa itu antaranya dari Kampung Belakang Sekolah Cina dan Kampung Penyangga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 1:18 AM