ANGGOTA Bomba membantu sebahagian mangsa banjir di Kampung Kotan, Mukim Jabi. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/Ihsan APM
ANGGOTA Bomba membantu sebahagian mangsa banjir di Kampung Kotan, Mukim Jabi. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Paras air Sungai Pendang yang meningkat sehingga mencecah 3.09 meter akibat hujan lebat semalam menyebabkan mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus bertambah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah meningkat sehingga 176 daripada 45 keluarga berbanding 141 mangsa daripada 36 keluarga yang dilaporkan semalam.

Beliau berkata, jumlah ini meningkat berikutan pertambahan 35 mangsa daripada sembilan keluarga berpindah ke PPS itu malam tadi selepas rumah mereka ditenggelami air.

"Setakat ini lima mukim di daerah ini terjejas akibat banjir iaitu membabitkan Mukim Ayer Puteh, Mukim Padang Peliang, Guar Kepayang, Padang Pusing dan Bukit Raya.

"Antara kampung terbabit adalah di Kampung Sukamari, Kampung Seberang Pendang, Kampung Alor Punti, Kampung Batu 16, Kampung Tanah Merah Dalam, Kampung Tanjung Radin, Kampung Banggol Besi, Kampung Tok Pauh, Kampung Alor Ali, Kampung Sungai Mati dan Kampung Tok Sedau," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yuslina berkata, paras air kini meningkat semula dan pergerakan air masih laju dan sungai yang terjejas setakat ini adalah Sungai Pendang.

Beliau berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pendang sedang melakukan pemantauan di kawasan yang dinaiki air untuk memastikan keselamatan penduduk selain menyukat paras air.

"Penduduk dinasihatkan berpindah sekiranya paras air meningkat di kawasan rumah mereka terutama yang berisiko di kawasan rendah.

"Hubungi pasukan penyelamat untuk melakukan urusan pemindahan dengan segera," katanya.

Yuslina berkata, operasi turut disertai agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penghulu.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima laporan berkaitan banjir kilat di empat daerah di negeri ini berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, antara daerah terbabit termasuk Pokok Sena, Kubang Pasu, Baling dan Padang Terap.

Beliau berkata, lima pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terbabit dalam operasi di daerah berkenaan iaitu BBP Alor Setar, Pokok Sena, Jitra, Baling dan Kuala Nerang.

"Operasi menyelamat mangsa banjir di Pokok Sena membabitkan Kampung Kotan, Kampung Lubuk Macang, Kampung Rotan dan Kampung Kolon yang disertai anggota dari BBP Pokok Sena dan dibantu BBP Alor Setar.

"Operasi itu membabitkan pemindahan 16 mangsa dari tiga keluarga di Kampung Kotan serta 11 mangsa di Kampung Lubuk Machang ke tempat selamat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi menyelamat mangsa banjir yang membabitkan empat orang dari satu keluarga di Jalan Kampung Kemunting Lama, Jitra selepas rumah mereka dilaporkan dinaiki air setinggi dua meter.

Beliau berkata, operasi disertai sepasukan anggota dari BBP Jitra yang bermula jam 5.18 petang semalam dan kesemua mereka dipindahkan dengan bantuan orang awam.

"Operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Kenyeng, Padang Terap pula membabitkan lima mangsa namun kesemua mereka enggan berpindah dan dalam keadaan selamat selepas air mulai surut. Operasi turut disertai anggota dari BBP Kuala Nerang," katanya.

Sementara itu di Baling, anggota BBP Baling menerima panggilan berhubung banjir kilat di Kampung Lubuk Pedati, yang membabitkan 13 buah rumah terjejas namun hanya tiga mangsa dari satu keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putra.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota BBP Baling turut membantu menyelamat seorang mangsa banjir iaitu lelaki warga emas di Kampung Pulai, Baling ke PPS SK Pulai berikutan rumahnya dinaiki air dan lokasinya berhampiran dengan sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 8:42 AM