KAMARULDZAMAN dengan patin bersaiz 26 kilogram yang berjaya ditangkapnya di Sungai Perak. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
KAMARULDZAMAN dengan patin bersaiz 26 kilogram yang berjaya ditangkapnya di Sungai Perak. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
Mohd Rashidi Yusuf


PULUHAN ekor patin liar berjaya didaratkan nelayan ketika air Sungai Perak keroh susulan hujan sejak awal April.

Bagaimanapun, sebahagian nelayan yang berjaya menangkapnya dengan banyak terpaksa menjualnya dengan harga yang lebih rendah berbanding harga biasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nelayan, Ahmad Rafaie Abdul Manas, 39, dari Kampung Banggol Batu dekat Lenggong berkata, dia berjaya mendaratkan 13 ekor ikan berkenaan sepanjang awal bulan lalu hingga kini.

Katanya, patin yang berjaya ditangkapnya bersaiz antara 8.5 dan 25 kilogram (kg) dan 11 ekor berjaya dijual dengan harga antara RM8 dan RM10 sekilogram.

“Patin liar Sungai Perak tidak mahal seperti patin Temerloh, jadi orang kampung mampu membelinya dan tak susah jugalah dipasarkan. Patin bersaiz besar terpaksa dijual lebih murah berbanding bersaiz kecil,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Rosdi Shahemy, 58, berkata, dia berjaya mendaratkan tujuh ekor patin bersaiz antara 8.5 kilogram dan 20 kg.

Katanya, semuanya berjaya dijual di kedai runcit dalam kampung yang turut menjual ikan-ikan laut dan sayur-sayuran.

Manakala, Kamaruldzaman Jalek, 56, dari Kampung Bukit, Telok Batu, berkata, seekor daripada tiga ekor yang berjaya ditangkapnya baru-baru ini bersaiz 26 kg.

Katanya, ketiga-tiga patin itu dipotong-potong dan habis dijual dengan harga RM12 setiap kg.

Sementara itu, Abdul Rahman Abdul Manan, 46, dari Kampung Pulau Cheri, Luat, berkata, dia juga berjaya menangkap tiga ekor patin yang hampir sebaya bersaiz belasan kilogram.

Katanya, semuanya dijual di kampung sahaja, sebab restoran-restoran yang biasa membeli ikan-ikan sungai banyak tutup sepanjang PKP.

“Ikan-ikan spesies lain yang lebih mahal seperti tengalan, kelabau, baung banyak juga dapat sepanjang air sungai keroh ini, tapi sukar untuk dipasarkan. Kerana restoran-restoran Cina tutup,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 6:01 PM