Adzland Zakaria memperolehi ikan kelah merah. FOTO ROSELAN AB MALEK.
Adzland Zakaria memperolehi ikan kelah merah. FOTO ROSELAN AB MALEK.
RoselanAb Malek


Jerantut: "Saya seakan bermimpi apabila berjaya mengail dua ekor ikan kelah merah liar yang sukar diperoleh dan berharga RM600 sekilogram ini," kata kaki pancing, Adzland Zakaria, 50, dari Taman Perumahan Embun Jaya di sini.

Menurutnya, usahanya memancing semalam menggunakan umpan buah sawit yang diperam selama seminggu ternyata berbaloi apabila memperoleh dua ekor kelah merah masing-masing seberat dua kilogram yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM2,400.

Katanya, ikan kelah merah atau nama saintifiknya Tortambra menjadi buruan kebanyakan kaki pancing kerana bernilai tinggi di pasaran untuk dijadikan menu istimewa atau sebagai perhiasan akuarium.

"Ikan kelah merah adalah ikan sungai yang paling sukar ditangkap dan harganya mahal, menjadikan spesies ini diberi jolokan raja sungai.

"Sebab itu, kejayaan menaikkan dua ekor ikan ini selepas mengail bersama empat rakan di Sungai Sat , Hulu Tembeling semalam sangat mengejutkan," katanya.

Adzland berkata, pada awalnya dia hanya memperoleh ikan lampan, baung, temoleh dan kerai saja sebelum berjaya mengail ikan kelah merah liar dalam tempoh selang sejam.

"Ikan ini berharga RM600 sekilogram jika dijual masih hidup dan sekitar RM250 hingga RM300 sekilogram jika sudah dibekukan.

"Bagaimanapun, kami tidak menjual ikan ini, sebaliknya menikmati keenakan isinya selepas dimasak secara kukus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 1:23 PM