Sarah Zulkifli


PELAKON filem KL Gangster, Sofi Jikan yang terkenal dengan tagline ‘kasi sengat’ memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang memutuskan hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan menggunakan ganja, tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili pelakon terbabit atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 49, ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Shah Rizal berkata, anak guamnya sebagai perayu memfailkan rayuan terhadap keputusan dan sabitan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir pada 31 Julai lalu di Pejabat Pendaftar Shah Alam.

“Pada hari ini, anak guam (Sofi) hadir bagi sebutan rayuan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara terhadapnya sebelum ini.

“Selain itu, mahkamah juga menetapkan 26 November depan sebagai tarikh pihak kami (perayu) dan responden mengemukakan hujahan masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Sofi yang mengenakan kot biru tiba di Mahkamah Tinggi berseorangan kira-kira jam 9 pagi.

Pada 31 Julai lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan dadah selain diperintah berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama tiga tahun.

Mengikut pertuduhan, Sofi didakwa menggunakan dadah jenis THC atau 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 11.15 malam, 6 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorongnya bertindak ganas di balai polis, Januari tahun lalu.

Dia turut mendakwa diberikan rokok disapu minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan Sofi yang didapati positif dadah ketika memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiara Damansara, 6 Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 2:03 PM
SOFI Jikan hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang memutuskan hukuman penjara selama 12 bulan atas pertuduhan menggunakan ganja, tahun lalu. FOTO SAIRIEN NAFIS
SOFI Jikan hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang memutuskan hukuman penjara selama 12 bulan atas pertuduhan menggunakan ganja, tahun lalu. FOTO SAIRIEN NAFIS