SOFI Jikan kali pertama dihadapkan di mahkamah dan ia memberi kesan ekonomi kepada keluarga. FOTO Rohanis Shukri
SOFI Jikan kali pertama dihadapkan di mahkamah dan ia memberi kesan ekonomi kepada keluarga. FOTO Rohanis Shukri
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"SAYA menghormati keputusan mahkamah namun berasakan hidup kosong ketika ini. Hukuman ini menyebabkan saya hilang semua tawaran (lakonan) dan mungkin terpaksa berniaga di pasar malam," kata pelakon KL Gangster, Sofi Jikan, 49.

Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan berkata demikian selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan tiga tahun pengawasan sebaik dia didapati bersalah menggunakan ganja pada tahun lalu.

Pelakon yang terkenal menerusi tagline 'kasi sengat' itu berkata, dia reda atas ujian Allah dan menerimanya dengan hati terbuka.

"Saya tidak melakukan jenayah berat seperti membunuh atau merompak. Saya hanya disabitkan positif ujian air kencing atas dakwaan menggunakan dadah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Begitupun katanya, hukuman 12 bulan amat berat dan mengganggu emosi serta semangat diri.

"Saya hormati keputusan mahkamah namun hilang tawaran lakonan beberapa filem dan program televisyen. Lagipun saya sudah menandatangani semua tawaran berkenaan.

"Pendapatan saya kini kosong dan runsing memikirkan nasib isteri serta tiga anak yang berusia tujuh hingga 15 tahun," katanya.

Menurut Sofi, dia sedih sekiranya anak dan isterinya tiada makanan tambahan pula dia yang menanggung mereka selama ini.

"Ini kali pertama saya dihadapkan di mahkamah dan ia memberi kesan ekonomi kepada keluarga. Saya sudah merayu untuk menangguhkan hukuman dan mungkin terpaksa menoreh getah atau berniaga di pasar malam," katanya.

Sofi dalam pada itu menzahirkan kesyukuran sebaik keluarganya mengikuti semua prosiding di mahkamah dan memberi dorongan.

"Saya anggap ini pengajaran dan tidak akan berputus asa mencari rezeki lain. Saya percaya rezeki milik Allah sangat luas," katanya.

Sementara itu Presiden Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DPA), Datuk Shahrul Nizam Yunos berkata, pihaknya membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kes berkenaan.

Katanya, pihaknya masih menunggu tarikh perbicaraan dan akan mendapatkan peguam pemerhati bagi khidmat nasihat serta tindakan seterusnya.

Harian Metro pada 13 Februari 2018 melaporkan Sofi didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, jam 11.15 malam, 6 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 13 Mei lalu, Sofi diperintah membela diri selepas mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

Berita berkaitan

Sofi Jikan dijel setahun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 5:43 PM