SOFI Jikan ketika hadir pada Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi menyambung sebutan semula kes pertuduhan mengambil ganja pada Februari lalu. FOTO Hafiz Sohaimi
SOFI Jikan ketika hadir pada Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi menyambung sebutan semula kes pertuduhan mengambil ganja pada Februari lalu. FOTO Hafiz Sohaimi
Sarah Zulkifli


PELAKON, Sofi Jikan, sudah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan pertuduhan mengambil ganja yang dihadapinya Februari lalu.

Dalam prosiding sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, peguam Muhd Farid Wajdi yang mewakili artis terbabit memaklumkan bahawa pihaknya menghantar representasi berkenaan pada 5 April lalu.

Sehubungan itu, Majistret Nurulhuda Zakariya menetapkan 24 Mei depan untuk mendengar keputusan representasi berkenaan.

Dalam prosiding sama, dokumen representasi itu turut diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy.

Pada 13 Februari lalu, Sofi didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 11.15 malam 6 Februari lalu.

Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Datuk Farid Kamil membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorongnya bertindak ganas di sebuah balai polis pada Januari lalu.

Pelakon dan pengarah itu juga mendakwa diberikan rokok yang disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan Sofi yang didapati positif dadah ketika memberi keterangan berhubung kes berkenaan di Balai Polis Mutiara Damansara, 6 Febuari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 2:03 PM