SITI Salbiah menyiram air mawar ke pusara suaminya, Mohamad Ikmal Ibrahim, 30 yang meninggal dunia akibat jangkitan virus zika di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rangin. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
SITI Salbiah menyiram air mawar ke pusara suaminya, Mohamad Ikmal Ibrahim, 30 yang meninggal dunia akibat jangkitan virus zika di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rangin. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


TINGGAL berbaki beberapa minggu sebelum Allahyarham Leftenan Maritim Mohamad Ikmal Ibrahim, 30, menamatkan latihan asas Pasukan Khas Laut (PASKAL) sebelum ditauliahkan.

Pegawai Penguatkuasaan dan Eksesais Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Komander Maritim Razali Kasim berkata, Mohamad Ikmal dalam fasa akhir menamatkan latihan dijalani sebelum tamat pertengahan November ini.

“Saya dimaklumkan, Mohamad Ikmal dalam latihan di laut iaitu fasa terakhir latihan bersama pasukan khas TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) di Lumut, Perak.

“Pemergiannya amat mendukacitakan, lebih-lebih lagi dia tidak sempat menamatkan latihan yang diikutinya,” katanya ketika menghadiri Majlis Pengebumian Mohamad Ikmal di Tanah Perkuburan Bukit Rangin, Kuantan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Mohamad Ikmal disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung, Perak akibat virus Zika pada 4.45 pagi semalam selepas dirawat di hospital berkenaan sejak 12 Oktober lalu.

Dalam majlis itu, Razali turut menyampaikan lipatan bendera kepada isteri Allahyarham, Siti Salbiah Roslie yang bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja.

Jenazah Mohd Ikmal selamat dikebumikan kira-kira 7.15 pagi, hari ini, sejurus tiba di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap jam 5.45 pagi.

Untuk rekod, jangkitan Zika pertama di Malaysia membabitkan seorang wanita berusia 58 tahun di Bandar Botani, Klang, Selangor pada 1 September 2016 dan kematian pertama dilaporkan dua hari kemudian iaitu lelaki 61 tahun di Likas, Sabah yang menghadapi komplikasi jantung.

Virus Zika disebarkan melalui nyamuk Aedes iaitu nyamuk sama menyebabkan demam denggi dan chikungunya.

Berita berkaitan

Pesakit Zika meninggal dunia

Lelaki kena virus Zika

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 10:50 AM