Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


“KAMI sekeluarga bangga dengan pencapaiannya, dia betul-betul ikut jejak langkah saya kerana saya dulu anggota komando tentera.”

Kata bapa kepada Allahyarham Leftenan Maritim Mohamad Ikmal Ibrahim, Ibrahim Abdul, 60, yang kagum dengan apa yang dilakukan anak lelakinya itu.

Katanya, pencapaian Mohamad Ikmal yang juga anak ketiga dari tujuh beradik itu amat membanggakan seluruh keluarga kerana menyertai latihan asas pasukan khas laut (PASKAL) dikendali Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang disifatkan sangat mencabar.

“Saya sendiri pun tidak tahu yang Allahyarham menjalani latihan itu sehingga dimaklumkan oleh isterinya Siti Salbiah Roslie selepas sebulan dia mengikuti latihan PASKAL.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya dan mendoakan anak saya ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rangin, Kuantan, hari ini.

Menceritakan sikap dan keperibadian anaknya itu, Ibrahim berkata, Mohamad Ikmal anak yang cekal dan memberikan khidmat terbaik kepada tugas mahupun keluarga.

Katanya, Allahyarham juga seorang anak yang kuat pegangan agamanya dan tidak pernah meninggalkan solat.

“Dia sangat sayangkan adik beradiknya yang lain. Pemergiannya sudah pasti akan memberi kesan buat kami,” katanya.

Media melaporkan Mohamad Ikmal, 30, disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung, Perak akibat virus Zika pada 4.45 pagi semalam selepas dirawat di hospital berkenaan sejak 12 Oktober lalu.

Berita berkaitan

Virus Zika: Mohamad Ikmal selamat dikebumikan

Pesakit Zika meninggal dunia

Lelaki kena virus Zika

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 11:03 AM