Siti Sofia Md Nasir


SERAMAI 8,000 pakar kesihatan keluarga akan dilahirkan untuk berkhidmat dalam sektor awam dan swasta, berbanding hanya 700 pakar sedia ada.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sasaran itu akan menjadikan ratio satu doktor pakar kesihatan keluarga dengan 4,000 populasi penduduk.

“Perkara ini sudah tentu akan ambil masa. Sekarang ini kita sudah ada dua program untuk membantu melahirkan lebih ramai pakar kesihatan keluarga, antaranya adalah bersama Royal College of Surgeon Ireland (RCSI) dan sebuah universiti di Australia.

“Selain itu, kita juga ada program di peringkat tempatan. Apa yang penting, semua ini akan saling melengkapi sistem pendidikan perubatan kita bagi melahirkan lebih ramai pakar di negara ini,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, beliau ditemui selepas merasmikan Program Latihan Untuk Pakar Kesihatan Keluarga Malaysia-Ireland di RCSI dan University College of Dublin (UCD) Kampus Malaysia (RUMC).

Hadir sama, Duta Ireland ke Malaysia Hillary Reilly dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif RUMC, Prof David Whitford.

Seramai 35 doktor dipilih menjadi penuntut perintis kepada program empat tahun itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mengesahkan punca kematian seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bukan disebabkan virus Zika semata.

“Mungkin ada jangkitan lain, kematian bukan disebabkan Zika sahaja. Tapi kita dalam siasatan untuk melihat lebih teliti lagi.

“Ini kerana, selain Zika, mangsa turut dijangkiti demam denggi dan kencing tikus, siasatan masih berjalan,” katanya.

Jumaat lalu, Leftenan Muda (Maritim) Mohamad Ikmal Ibrahim disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung pada 4.45 pagi selepas dirawat di hospital berkenaan sejak 12 Oktober lalu.

Mohamad Ikmal adalah mangsa pertama meninggal dunia akibat Zika, tahun ini dan kes kesembilan sejak dilaporkan empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 7:19 PM