GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zahratulhayat Mat Arif


KEMENTERIAN Kesihatan tidak menolak kemungkinan lelaki dari Manjung, Perak yang meninggal dunia, hari ini akibat Zika yang berpunca daripada virus tempatan.

Kematian pesakit itu yang berusia 30 tahun disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut mengenai perkara itu.

“Zika pernah dilaporkan di Bentong, Pahang pada 1960-an dan walaupun penyakit itu pernah dilaporkan di Malaysia sejak beberapa tahun ini, namun tiada kes kecacatan kelahiran dipanggil ‘microephaly’ (saiz kepala kecil) di sini, kecuali di Brazil.

“Kami sedang menyiasat hubungan dan pergerakan mangsa, termasuk sebarang jangkitan lain dialaminya.

“Kemungkinan besar penyakit Zika daripada jangkitan virus tempatan,” katanya, hari ini.

Semalam, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesan seorang lelaki disyaki dijangkiti virus Zika pada 12 Oktober lalu selepas Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menerima satu notifikasi pesakit yang mengalami gejala muntah dan cirit-birit.

Menurutnya, pesakit mula mengalami gejala terbabit pada 26 September lalu, kemudian dimasukkan ke hospital pada keesokannya sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Manjung pada 29 September lalu.

Difahamkan, mangsa dikenali Leftenan Maritim Mohamad Ikmal Ibrahim yang berkhidmat di Kapal Maritim (KM) Nusa Maritim di Terengganu meninggal dunia pada 4.45 pagi di hospital terbabit.

Untuk rekod, jangkitan Zika pertama di Malaysia membabitkan seorang wanita 58 tahun di Bandar Botani, Klang, Selangor pada 1 September 2016 dan kematian pertama dilaporkan dua hari kemudian iaitu lelaki 61 tahun di Likas, Sabah yang menghadapi komplikasi jantung.

Virus Zika disebarkan menerusi nyamuk Aedes iaitu nyamuk sama yang menyebabkan penyakit demam denggi dan chikungunya.

Berita berkaitan

Lelaki kena virus Zika

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 6:08 PM