Noor Azmi Yusoff menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan. FOTO Azhar Ramli
Noor Azmi Yusoff menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan. FOTO Azhar Ramli
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA beranak warga Pakistan dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan RM36,800 membabitkan pengurusan dokumen visa, Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, individu terbabit dikenal pasti sebagai Naseem berusia lingkungan 50-an dan anaknya, Muhammad Asadullah, 28, yang beralamat terakhir di A-13A-03, Kondominium D-Pines, Jalan Cempaka 6, Taman Nirwana, Ampang.

“Kami menerima laporan daripada seorang lelaki warga Pakistan mengenai penipuan visa oleh dua beranak itu.

“Semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati visa itu palsu dan tiada dalam rekod agensi terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hari ini.

Noor Azmi berkata, Muhammad Asadullah pernah dipanggil dan diambil keterangan Julai lalu.

“Malah dia turut memfitnah pegawai polis yang menyiasat kes berkenaan dengan mendakwa pegawai terbabit meminta suapan RM7,000 untuk menyelesaikan kes itu.

“Pegawai itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) September lalu dan direman empat hari sebelum dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan masing-masing kerana memfitnah dan melakukan penipuan.

Dalam kes berasingan, pihak polis sedang mengesan seorang lelaki yang juga gelandangan bagi membantu siasatan kes bunuh wanita warga emas yang ditemui maut dalam keadaan tangan berikat di sebuah flat di Tasik Tambahan Ampang, 19 September lalu.

“Berdasarkan penemuan bukti baharu, kami memburu lelaki dikenal pasti K Sathiaraj, 27, yang beralamat terakhir di flat sama.

“Lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah dan satu lagi kes jenayah,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu terbabit dengan dua kes berkenaan diminta tampil menghubungi polis.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mangsa ditemui anak lelakinya dalam keadaan diikat tangan di belakang dan bahagian kepala ditutup kain.

Mangsa turut dipercayai diserang secara seksual berdasarkan hasil pemeriksaan dilakukan di lokasi mendapati terdapat kesan air mani.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:27 PM