TERTUDUH dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
TERTUDUH dibawa ke mahkamah, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Sarah Zulkifli


LELAKI warga Pakistan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, atas pertuduhan menipu rakan senegara berhubung visa profesional membabitkan kerugian RM36,800, Mei lalu.

Tertuduh, Naseem Muhammad, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menipu Khalid Navid dengan memperdayakannya bagi mendapatkan kelulusan visa profesional dengan menyerahkan dokumen palsu kepadanya.

Perbuatan tertuduh mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM36,800 di hadapan kedai 7-Eleven, Taman Kosas, di Ampang, 6 petang, 15 Mei lalu.

Dakwaan kes terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakierah Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh adalah warga asing.

Bagaimanapun, peguam Kelvin Wong yang mewakili Naseem memohon jaminan diberikan terhadap anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 1:55 PM