Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Norizuan Shamsuddin


LELAKI memiliki 14 rekod jenayah lampau yang dikenakan pengawasan polis dicekup kelmarin selepas aktif melakukan ragut di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Menurut sumber, lelaki berusia 35 tahun itu ditangkap hasil serbuan Op Rentap yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu di sebuah rumah di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus pada 8 malam.

Katanya, serbuan dilakukan susulan lima kes ragut dilaporkan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, sejak bulan lalu.

“Siasatan mendapati suspek melakukan jenayah ragut secara bersendirian dengan menggunakan motosikal dan dia didapati terbabit lima kes ragut iaitu empat kes di Kuala Nerus serta satu kes di Kuala Terengganu.

“Semakan mendapati suspek memiliki 14 rekod jenayah lampau membabitkan 13 kes jenayah dan satu kes dadah.

“Suspek berasal dari Kuantan, Pahang baru diletakkan di bawah pengawasan polis di daerah Kuala Nerus selama tiga tahun bermula 11 September lalu hingga 10 September 2021,” katanya.

Menurutnya, hasil penahanan suspek polis merampas pelbagai barangan disyaki hasil ragut antaranya empat telefon pintar, dokumen peribadi, kad bank milik mangsa dan motosikal yang digunakan untuk melakukan jenayah terbabit.

“Polis juga menemui tiga beg tangan mengandungi barangan milik mangsa ragut yang dibuang dalam semak di tiga lokasi berasingan sekitar Kampung Tok Jembal dan Gong Badak dengan ditunjuk suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan suspek kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 12:37 AM