MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA maut manakala anak perempuannya cedera selepas motosikal mereka dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Tok Jembal, Kuala Nerus, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal itu, Wan Husna Wan Ahmad, 53, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada badan manakala anaknya, Wan Anis Nadzirah Wan Yunus, 21, hanya cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila dua beranak terbabit dalam perjalanan dari arah Taman Murni Permai, Tok Jembal, menghala ke rumah mereka di Taman Dalya, Jalan Tekukur, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian MPV dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun dikatakan keluar dari simpang dan melanggar motosikal dua beranak terbabit.

“Perlanggaran itu menyebabkan dua beranak itu tercampak di atas jalan.

“Wan Husna yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya yang juga penuntut Politeknik Dungun cedera dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Idris berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian manakala remaja terbabit tidak mengalami kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 1:03 PM