GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan bersama seorang Sarjan ditahan bagi membantu siasatan kes samun membabitkan kerugian RM5,150.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, penahanan kedua-dua suspek dibuat susulan laporan seorang lelaki di Balai Polis Gong Badak pada Sabtu lalu.

"Pengadu memaklumkan dibawa kedua-dua suspek ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus pada 1 Februari lalu (Khamis) untuk mengeluarkan duit sebanyak RM5,000.

"Identiti kedua-dua suspek berjaya dikenal pasti hasil siasatan polis melalui pengecaman gambar dan rekod kamera litar tertutup (CCTV) sebelum membawa kepada penahanan mereka.

"Suspek pertama iaitu pegawai polis ditahan pada Sabtu lalu dan kini direman selama tujuh hari manakala suspek kedua yang ditahan pada keesokan harinya (Ahad) pula direman selama empat hari.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mazli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu ingin menegaskan bahawa pihaknya memandang serius terhadap pembabitan jenayah dalam kalangan pegawai dan anggota polis terutamanya di Kontinjen Terengganu.

Katanya, pihaknya komited menjalankan siasatan dengan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang supaya penjenayah dapat dihadapkan ke mahkamah.

Sebelum ini tular di media sosial satu laporan polis disyaki membabitkan pegawai dan anggota polis apabila mangsa mendakwa didatangi dua lelaki berpakaian preman menaiki kenderaan dengan logo PDRM.

Menerusi laporan tular itu, suspek didakwa meminta wang sebanyak RM20,000 bagi membersihkan nama mangsa yang dikatakan berada dalam senarai untuk dibuang daerah.

Bagaimanapun, mangsa hanya mengeluarkan RM5,000 di ATM di sebuah stesen minyak di Wakaf Tembesu sebelum menyerahkan RM150 lagi kepada kedua-dua suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 2:23 PM