Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 27 bulan selepas mengaku salah cuba mencuri wang tabung derma masjid. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 27 bulan selepas mengaku salah cuba mencuri wang tabung derma masjid. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin
Hanneeyzah Bariah Baharin


PENGANGGUR dijatuhi hukuman penjara 27 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku salah tiga kali cuba mencuri tabung derma masjid.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhamad Afizawani Matang, 44, terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan kerana cuba mencuri dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa cuba mencuri wang daripada tabung derma yang diletakkan dalam Masjid Kampung Gelugor Haji Tahir di sini, pada 6 petang 11 September lalu.

Muhamad Afizawani dari Kampung Gelugor Haji Tahir didakwa mengulangi kesalahan sama pada 5 petang 14 September lalu dan 4 pagi 20 September lalu di lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati cuba berbuat sesuatu pada tabung derma masjid dipercayai untuk mencuri wang tabung itu pada 6 petang 11 September lalu.

Kejadian itu disedari ahli jawatankuasa masjid pada 9 malam hari sama selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam masjid berkenaan.

Muhamad Afizawani kemudian sekali lagi dilihat cuba mencuri wang tabung derma masjid itu pada 5 petang 14 September lalu dengan membawa sebatang dawai besi panjang.

Bagaimanapun kejadian itu disedari seorang jemaah yang berada dalam masjid sebelum dia mendekati dan menasihati tertuduh serta memberi amaran akan melaporkan perbuatannya kepada pihak berkuasa.

Tertuduh bagai tidak serik apabila mengulangi cubaan mencuri 4 pagi 20 September lalu sebelum perbuatannya disedari ahli jawatankuasa masjid selepas melihat rakaman CCTV pada 6 pagi.

Susulan kejadian, satu laporan polis dibuat sebelum tertuduh ditahan 1.45 pagi Khamis lalu dan selepas disoal siasat tertuduh mengaku cuba mencuri wang tabung derma masjid itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 5:10 PM