Tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana melupuskan harta curi. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana melupuskan harta curi. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap lelaki yang melupuskan harta curi iaitu tabung derma milik Masjid Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohammad Al Imran Ahmad, 23, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi rakannya yang masih bebas didakwa dengan sengaja menghapuskan harta curi iaitu tabung derma Masjid Kampung Sungai Ikan.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di Jalan Ladang Rakyat, Lembah Bidong, Kuala Nerus, 2.05 pagi pada 24 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohimadin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Pengerusi Masjid Kampung Sungai Ikan yang juga pengadu mengunci pintu masjid selepas selesai aktiviti masjid pada 11 malam 23 Julai lalu.

Bagaimanapun, keesokan hari iaitu 5.30 pagi, pengadu yang sampai di masjid itu dimaklumkan bilal masjid tabung masjid yang diletakkan di tepi tiang ruang wanita tiada dipercayai dicuri orang.

Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga lelaki melarikan tabung derma itu menggunakan kereta membabitkan kerugian RM500.

Sebelum ini, polis memburu tiga lelaki yang dipercayai mengambil masa hanya 10 minit melarikan tabung di ruang solat wanita serta yang dirantai pada tiang masjid.

Semakan CCTV mendapati dua lelaki itu memasuki masjid pada 1.58 pagi dan melarikan tabung masjid manakala seorang lagi menunggu di luar masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 4:08 PM