SUHAIMI dipenjara 24 bulan kerana mencuri duit tabung surau.
SUHAIMI dipenjara 24 bulan kerana mencuri duit tabung surau.
myMetro

Kuala Terengganu: Seorang buruh dihukum penjara selama 24 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana cuba mencuri duit tabung surau.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Suhaimi Ismail, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri dalam bangunan dan dibaca bersama Seksyen 511 KK.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah didakwa cuba mencuri duit tabung surau di Surau Bukit Depu, di sini, jam 2.30 pagi pada 8 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna.

Mengikut fakta kes, tindak tanduk mencurigakan tertuduh yang juga positif dadah jenis amphetamine disedari seorang lelaki berusia 30 tahun yang kebetulan berada di kawasan surau berkenaan.

Pengadu berhenti minum di kedai berhampiran surau berkenaan sebelum tertuduh yang menaiki motosikal menghampiri tabung surau itu.

Hasil pemerhatian, tertuduh yang menyedari kehadiran orang di surau berkenaan pergi ke arah motosikalnya bagi mengelak perbuatannya dikesan.

Bagaimanapun, sebaik menyedari tiada orang di surau berkenaan, tertuduh kembali semula ke arah tabung itu sebelum pengadu mendengar bunyi kunci tabung dibuka.

Pengadu yang mengesyaki tertuduh cuba mencuri tabung itu memanggil rakannya sebelum mereka menahan tertuduh.

Ketika ditanya, tertuduh tidak mengaku mahu mencuri duit tabung dengan memberi pelbagai alasan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:51 AM