Haijan yang mewakili dua beradik yang didakwa atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan ketika ditemui media di Mahkamah  Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
Haijan yang mewakili dua beradik yang didakwa atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan ketika ditemui media di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Majistret Kanak-Kanak hari ini memerintahkan dua beradik yang ditahan berhubung kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dihukum penjara dua bulan selepas mengaku salah memasukkan ganja ke dalam badan.

Majistret Zilfinaz Abbas memerintahkan remaja berusia 16 dan 17 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 16 September lalu.

Mahkamah turut mengenakan bon RM5,000 setiap seorang tanpa cagaran dan memerintahkan mereka melaporkan diri kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dua kali sebulan, selama dua tahun dengan ditemani ibu masing-masing.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memasukkan ganja ke dalam badan di tandas pejabat D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, pada jam 11.35 pagi, 16 September lalu.

Dakwaan terhadap mereka yang diwakili peguam Haijan Omar dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum dua tahun atau denda dan perintah pengawasan polis selama dua tahun.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail dan Nurakmal Farhan Aziz.

Pada prosiding sebelah pagi tadi, rakan mereka, kanak-kanak berusia 12 tahun dan remaja 16 tahun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kanak-Kanak daripada pertuduhan memasukkan dadah dalam badan.

Mahkamah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka menarik balik kes berkenaan ke atas kedua-dua tertuduh berikutan laporan patologi yang dikeluarkan Makmal Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan keputusan negatif.

Berita berkaitan

Pendakwaan tarik balik kes berkaitan dadah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 6:49 PM