LAPORAN portal berita Harian Metro pada 12 September lalu mengenai Nur Aafiyah yang kritikal dan mengalami pendarahan menyebabkannya dirawat di PICU hospital.
LAPORAN portal berita Harian Metro pada 12 September lalu mengenai Nur Aafiyah yang kritikal dan mengalami pendarahan menyebabkannya dirawat di PICU hospital.
Redzuan Muharam


IBU kepada bayi penghidap ‘hemangioma’, Nesmenny Jimahin kini runsing memikirkan cara mendapatkan wang bagi menampung kos tambang perjalanan berulang-alik dari rumah di Kampung Ulu, Putatan untuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Nesmenny, 32, berkata, dia dan suami, Asri Daud, 33, tiada kenderaan sendiri dan terpaksa menggunakan perkhidmatan Grab sebagai pengangkutan untuk melawat anak mereka, Nur Aafiyah Maizarah berusia sebulan yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) hospital itu sejak 11 September lalu.

Katanya, dia terpaksa berulang-alik dari rumah ke hospital setiap hari kerana akur dengan peraturan hospital hanya membenarkan ibu bapa atau penjaga datang ke PICU ketika waktu melawat sahaja dan bukannya bermalam di situ.

“Tambang perjalanan ke hospital tidak menentu dan selalunya lebih mahal ketika waktu puncak terutama pada Jumaat kerana jalan raya sesak ketika itu.

“Anggaran tambang untuk perjalanan sehala adalah RM23 dan pernah mencecah sehingga RM69, namun saya tiada pilihan kerana perlu ke hospital bagi melihat keadaan Nur Aafiyah.

“Nur Aafiyah kini masih kritikal, jadi saya tidak sampai hati membiarkannya sendiri walaupun ada jururawat dan doktor bertugas di wad,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nesmenny berkata, buat masa ini, dia dan suami bergantung kepada wang simpanan mereka serta pendapatan diperoleh hasil pekerjaan sampingannya sebagai ejen produk kecantikan.

“Selebihnya adalah wang sumbangan keluarga dan rakan yang menghulurkan bantuan kerana simpati dengan nasib kami.

“Ikutkan, saya dan suami tidak mahu menyusahkan sesiapa, tetapi kami memang berdepan dengan masalah kewangan ketika ini.

“Terima kasih kepada yang membantu dan saya pinta semua doakan Nur Aafiyah sembuh daripada penyakit berkenaan,” katanya.

Pada 5 September lalu, portal berita Harian Metro melaporkan kisah bayi berusia sebulan, Nur Aafiyah yang menderita akibat ketumbuhan semakin membesar pada pipi kiri dan ditahan di wad kanak-kanak Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Namun, pendarahan serius pada 11 September lalu menyebabkan Nur Aafiyah ditahan di PICU dan keadaan bayi berkenaan masih kritikal sehingga hari ini.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 160072354760 atas nama Nesmenny Jimahin.

Berita berkaitan

'Nur Aafiyah kini kritikal'

'Semoga dipermudahkan anakku'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 9:02 PM