Sudirman Mohd Tahir


TANGGAL 19 Mac lalu genap tiga tahun usia anak penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah.

Bagi mereka yang mengikuti Siti di Instagram tentu dapat melihat keletah comel dan aksi bersahaja Aafiyah.

Menariknya, pada usia itu juga Aafiyah sudah didedahkan dengan dunia glamor ibunya yang menuntut dia untuk terbabit sama.

Terbaharu, Aafiyah dilantik menjadi duta bagi produk minuman jeli berkhasiat untuk kanak-kanak, BeauKids dan terbabit dalam projek album Legasi yang memuatkan lagu kanak-kanak nyanyian Siti.

Siti, 42, berkata, dia bersyukur apabila Aafiyah sentiasa memberi kerjasama yang baik dalam setiap apa saja dibuat.

"Apabila nak bekerja dengan kanak-kanak kecil, kita kena terangkan dalam cara kanak-kanak juga. Saya nak ucapkan terima kasih kepada penjaga Aafiyah iaitu Kakak Hidayah yang selama ini banyak menjaga dan mendidiknya. Saya bersyukur dan berterima kasih sangat sebab pada masa sama memudahkan kerja saya. Tak tahulah Kakak Hidayah baca apa, tapi Aafiyah dengar cakap.

"Setiap kali ada penggambaran kena ambil hati dia dulu. Tak boleh arah sebab saya kena menjadi kanak-kanak juga. Selepas itu dia akan okey. Apa yang Aafiyah suka, kita bagi dia 'enjoy'. Penggambaran berjalan dengan lancar. Dia akan akur jika suruh buat apa-apa, janji ambil hati," katanya.

Selain menjadi duta bagi produk keluaran syarikat Siti, Aafiah juga secara tidak langsung menjadi duta kecil bagi empayar perniagaan dibina Siti bersama suami iaitu CTDK Holdings Sdn Bhd.

"Dia bawah syarikat, Aafiyah sebagai duta kecil. Saya berasa apa yang perlu dalam perkembangan seharian, jadi itu kami keluarkan produk ini. Dulu saya tak ada anak, jadi tak boleh keluarkan minuman. Sekarang saya rasa perlu untuk keluarkan satu produk berkhasiat," katanya.

Ditanya keterbukaan Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa untuk 'melepaskan' Aafiyah menjadi duta produk syarikat lain, Siti menyerahkan perkara itu dijawab oleh suaminya yang mesra disapa DK.

AAFIYAH mudah memberikan kerjasama ketika menjalani penggambaran.
AAFIYAH mudah memberikan kerjasama ketika menjalani penggambaran.

Khalid berkata, buat masa sekarang mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk masa depan Aafiyah.

"Kita juga pada masa sama ada produk di bawah nama Aafiyah. Jadi, keutamaan untuk syarikat dan untuk ibu ayah dia," katanya.

Menurut Siti, perhatian yang diberikan terhadap anaknya itu adalah tempias daripada dirinya.

"Sebagai selebriti, memang akan mendapat perhatian. Itu terjadi kepada selebriti, bukan Aafiyah seorang tapi kepada semua selebriti ada anak, pasti mereka dapat perhatian. Tinggal lagi sama ada mereka perluaskan lagi populariti atau komitmen anak mereka terhadap produk yang ada.

"Macam Aafiyah, dia memang sudah menjadi sebahagian keluarga CTDK Holdings, jadi sebab itu saya menghasilkan produk Aafiyah. Pengaruh dia adalah saya yang secara tidak langsung akan mengikut perkembangan dia di Instagram. Ada suka keletah Aafiyah tapi saya hanya berkongsi waktu tertentu saja.

"Apabila sudah ada produk, akan lebih berkongsi perkembangan Aafiyah. Cuma, saya mahu dia membesar seperti kanak-kanak yang lain. Tidak ada kelebihan sangat. Tak nak dia 'demand' dari kecil dan mahu dia menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Biar dia berkawan sebab dia memang mesra dan 'friendly'. Biar dia membesar seperti saya dulu yang suka main lumpur dan macam mana saya membesar. Cuma beza sekarang, dia menjadi anak selebriti, itu saya tak boleh lari dari kenyataan," katanya.

Album kanak-kanak Seperti kelahiran anak pertama, Siti menghadiahkan lagu Comel Pipi Merah. Bagi anak kedua pula iaitu bayi lelaki yang dijangka dilahirkan bulan depan, Siti memperkenalkan lagu Anakanda yang bakal dimuatkan dalam album Legasi dengan kerjasama Siti Nurhaliza Productions dan Universal Music Malaysia.

"Album kanak-kanak ini saya perkenalkan medley sebagai pengenalan dulu. Album sepenuhnya keluar pada 1 April ini. Ia mempunyai enam lagu, dua lagu medley, empat lagu penuh yang satu lagu ciptaan saya sendiri untuk anak yang bakal lahir berjudul Anakada.

SITI dan Khalid bersama keluarga meraikan sambutan ulang tahun ketiga Aafiyah sempena pelancaran rangkaian minuman jeli BeauKids di Cyberjaya.
SITI dan Khalid bersama keluarga meraikan sambutan ulang tahun ketiga Aafiyah sempena pelancaran rangkaian minuman jeli BeauKids di Cyberjaya.

"Lagu lain adalah lagu klasik. Sebab terlalu banyak, kita buat medley dulu yang ini adalah lagu ketika saya di tadika. Antara lagu Medley Klasik Siti 1 adalah Buai Laju-Laju, Tepuk Amai-Amai, Suriram dan Bunga Matahari.

"Kemudian satu lagu sebagai inspirasi nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Anakku Sazali, tapi saya tukar lirik menjadi Anakku Sayangku dan lirik disesuaikan dengan nyanyian saya. Lagu lain adalah Burung Kakak Tua, Bintang Kecil dan Anakanda," katanya.

Berkongsi pengalaman merakamkan lagu dalam keadaan sarat mengandung, Siti berkata, ia satu cabaran.

"Memang boleh dikatakan agak sukar juga sebab sepanjang hamil sehingga sebelum masuk studio, saya jarang menyanyi. Kalau nak rakamkan lagu memang kena selalu menyanyi supaya vokal kod licin. Apabila saya masuk studio dan terus nyanyi, memang ambil masa agak lama. Jadi, saya rakamkan lagu ikut kemampuan. Tidaklah terlalu memaksa.

"Alhamdulillah, dalam masa tiga hari siapkan album itu. Ia nampak mudah sebab lagu kanak-kanak yang biasa saya menyanyi. Tapi apabila masuk studio saya tercungap-cungap sebab semasa nyanyi saya kena dengar tempo dan gubahan baharu.

"Lagu Anakanda, saya nak kekalkan lagu kanak-kanak hasil ciptaan saya sendiri. Tapi tidak seperti Comel Pipi Merah. Saya bagi sentuhan tradisional, tapi gabungkan dengan elemen lagu Ikan Kekek," katanya.

KELETAH Aafiyah dikongsi Siti pada waktu tertentu sahaja.
KELETAH Aafiyah dikongsi Siti pada waktu tertentu sahaja.

Mengenai kehamilannya yang kini berusia lapan bulan, Siti berkata, anak dalam kandungannya sihat.

"Kehamilan sekarang, alhamdulillah sudah peringkat ketiga. Insya-Allah bulan depan bersalin. Alhamdulillah, sudah buat pemeriksaan akhir. Perkembangan bayi dalam kandungan pun membesar dengan sihat.

"Saya tidak menjangka masih dapat kerja hujung-hujung ini. Sebab itu saya cuba selesaikan semua komitmen sebelum bersalin. Insya-Allah sebelum hujung bulan ini selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 6:01 AM