GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

ANGGOTA polis cedera selepas dirempuh pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang mengelak daripada diperiksa di Jalan SS15/6, Subang Jaya, 10.40 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang bertugas di Balai Polis Subang Jaya sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah menggunakan motosikal sebelum terserempak MPV Toyota Innova berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan SS 15/4B, di sini.

“Anggota berkenaan mengarahkan pemandu berusia 30-an itu untuk memberhentikan kenderaan, namun dia enggan dan terus memecut laju hingga ke Jalan SS 15/6 sebelum MPV terbabit tiba-tiba berhenti.

“Ketika motosikal ditunggang anggota polis itu menghampiri kenderaan berkenaan, suspek bertindak merempuh motosikal terbabit menyebabkannya terjatuh dan cedera sebelum pemandu terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pemandu yang juga jurutera itu ditahan di Taman Tun Dr Ismail 7.10 malam tadi dan MPV Toyota Innova dipandunya ketika kejadian turut dirampas.

“Suspek yang tidak memiliki rekod jenayah itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Sekyen 307/186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 20 September lalu, sebanyak 16 kertas siasatan dibuka membabitkan kejadian sama yang berlaku di kawasan berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 12 kes membabitkan pihak polis dan tiga kes daripada MPSJ selain satu kes oleh doktor pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh itu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membolehkan mereka melakukan tugas penguatkuasaan undang-undang dan tindakan tegas boleh dikenakan terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 2:53 PM