Lizam Ridzuan

Sebut saja Kenderaan Pelbagai Guna (MPV), yang dapat dibayangkan pasti berkaitan kebolehannya membawa lebih ramai penumpang serta barangan.

Satu daripada model MPV yang mendapat tempat di pasaran ialah Toyota Innova.

Ia jadi pilihan buat 'family man' membawa ahli keluarga pulang ke kampung atau destinasi percutian.

Ia juga banyak digunakan agensi kerajaan sebagai kenderaan jabatan bagi urusan rasmi dan sebagainya.

Vroom berpeluang memandu uji model Innova Baharu 2.0X yang dilancarkan awal tahun ini dengan ciri dan kemasan yang diperbaharui, malah tampil dengan gaya lebih elegan.

Daripada segi luaran, ia kelihatan cukup garang, ampuh dan berkuasa, namun penuh dengan kemasan menarik ciri ala 'crossover'.

ELEMEN 'crossover' serlah gaya.
ELEMEN 'crossover' serlah gaya.

Gril besar kini umpama ciri standard sebahagian besar MPV dan ia juga boleh dilihat pada model ini.

Lampu hadapannya pelbagai. Ia membabitkan lampu utama LED automatik dengan fungsi 'follow-me-home', lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus.

Pintu bukaan luas untuk kemudahan memasukkan barangan juga jadi tumpuan pengguna.

Bagi aspek keselamatan, spoiler MPV ini turut didatangkan dengan lampu brek ketiga.

PADANAN kemasan luaran hitam dan krom.
PADANAN kemasan luaran hitam dan krom.

Untuk varian ini, ia dipadankan dengan rim aloi 17 inci hitam Dark Mica Metallic berbanding 16 inci untuk varian lain.

Ruang dalaman pula dilengkapi kemasan papan pemuka perak dan kayu mewah.

Panel meter TFT bersaiz 4.2 inci optitron dengan kawalan pencahayaan dan sistem infotainmen bersaiz sembilan inci skrin sesentuh dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto pula antara yang jadi tarikan pengguna.

Ia juga dilengkapi paparan kamera undur Monitor Pemandangan Panorama (PVM) yang boleh ditukar imej daripada 2D kepada 3D.

Tempat duduknya dibaluti kulit hitam dan untuk varian 2.0X, ia dilengkapi kerusi gaya kapten di baris kedua.

Malah, meja lipat yang ada menambah ciri premium MPV ini.

Kerusi ketiga pula boleh memuatkan tiga penumpang dan setiap barisan kini disediakan port USB tambahan bagi pengecasan pantas untuk peranti masing-masing.

PAPAN pemuka kemasan perak dan kayu.
PAPAN pemuka kemasan perak dan kayu.

Untuk pemandu, ia datang dengan kerusi boleh laras lapan ketetapan elektrik serta roda stereng tiga jejari dengan fungsi butang audio, MID dan Bluetooth.

Pencahayaan suasana LED pada bumbung dalaman menyerlahkan sentuhan kemewahan, terutama pada waktu malam.

MPV ini dikuasai enjin 1,998cc empat silinder selari, 16 injap, DOHC dengan dwi-VVT-i yang mampu menjana kuasa 139PS pada 5,600rpm dan tork 183Nm pada 4,000rpm.

Menerusi transmisi enam kelajuan automatik Sequential Shifter, ia menawarkan nisbah gear lebih panjang untuk kuasa ketika pecutan dengan rpm rendah bagi penggunaan bahan api lebih efisien.

Tiga mod pemanduan boleh dipilih iaitu Normal, Eco dan Power.

Secara keseluruhan, Toyota Innova Baharu ini menyerlah dengan ciri dipertingkat terutama untuk varian X yang tampil lebih menarik.

RUANG simpanan.
RUANG simpanan.

Berwajah lebih elegan terutama pada bahagian kabin, ia bukan sahaja selesa, malah praktikal.

Toyota Innova juga diberi penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan tangki bahan api 55 liter.

Ia mampu menjangkau perjalanan lebih 400km, bergantung kepada bebanan, penumpang dan gaya pemanduan.

Ciri keselamatannya antaranya tujuh beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) serta Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC).

INNOVA gaya premium.
INNOVA gaya premium.

Tujuh pilihan warna disediakan. Warna Crimson Spark Red Metallic seperti unit pandu uji ini khusus untuk varian 2.0X.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Innova 2.0X (AT) dijual pada harga RM133,355.

Dua varian lagi iaitu 2.0G dan 2.0E masing-masing dijual pada harga RM125,232 dan RM115,553 (semua harga atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 7:00 AM