Pelajar diarah memakai topeng ketika keluar selepas tamat sesi sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Kuala Kedah, hari ini. - Foto BERNAMA
Pelajar diarah memakai topeng ketika keluar selepas tamat sesi sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Kuala Kedah, hari ini. - Foto BERNAMA

Kuala Lumpur: Peperiksaan awam tetap diteruskan mengikut jadual walaupun jika jerebu masih berpanjangan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan bermula 12 hingga 15 Oktober ini, Sijil Pelajaran Malaysia (2 November hingga 8 Dissember), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia dari 19 hingga 27 Oktober.

“Peperiksaan aktiviti dalam bangunan dan tidak dianggap aktiviti luar. Justeru, peperiksaan diteruskan walaupun sekolah ditutup bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) mencapai lebih 200," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mahdzir berkata penangguhan peperiksaan awam adalah pilihan terakhir sekiranya bacaan IPU mencapai 500 iaitu tahap berbahaya kepada kesihatan dan darurat diisytiharkan kerajaan.

Beliau berkata, sekolah yang ditutup akibat jerebu tidak perlu menggantikan sesi persekolahan mereka.

Menurutnya, keputusan itu diambil supaya tidak membebankan pengurusan sekolah menggantikan sesi penutupan, bagaimanapun semua guru yang terlibat diminta mempercepat serta menggunakan budi bicara masing-masing bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat diselesaikan dalam tempoh sesi persekolahan 2015, katanya - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:59 PM