NUR Mahmudah (kiri) berada  dalam tahanan di Syria. FOTO Safuri Kamarudin
NUR Mahmudah (kiri) berada dalam tahanan di Syria. FOTO Safuri Kamarudin
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS akan berusaha membawa pulang Nor Mahmudah Ahmad, 31, balu Muhammad Wanndy Mohd Jedi bersama anaknya yang kini berada dalam tahanan di Syria.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya menghadapi masalah buat masa ini untuk membawanya pulang dan juga rakyat Malaysia yang lain kerana terdapat tiga lapisan di negara terbabit.

Menurutnya, pada satu lapisan, ia berada di bawah kawalan kerajaan Syria, satu lagi di bawah Pakatan Amerika Syarikat dan satu lagi Daish menyebabkan sukar untuk masuk ke sana.

“Pihak agensi perisikan asing ketika ini membantu untuk membawa rakyat kita keluar dari negara terbabit.

“Kita juga aktif berhubung dengan pihak Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) untuk mengatur membawa pulang mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar di Lapang Sasar Pasukan Gerakan Am(PGA) Cheras di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya akan tetap berusaha membawa balik kerana mereka itu rakyat negara ini.

“Apabila dia sampai ke sini kita akan pertimbangkan apa tindakan perlu diambil terhadap isteri Muhammad Wanndy.

“Bukan setakat keluarga Muhammad Wanndy tetapi semua yang kita dapat tahu berada di bawah tahanan akan diusaha bawa pulang ke negara ini,” katanya.

Sebelum ini bapa Nur Mahmudah, Ahmad Hussin, 58, mengharapkan ada pihak membantu membawa anaknya, pulang semula ke tanah air selepas berada di Syria sejak lima tahun lalu.

Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu ada menghubunginya dan merayu untuk pulang kerana sudah tidak tahan dengan kehidupan di negara itu.

Nor Mahmudah, yang berasal dari Kedah, pergi ke Syria bersama Wanndy pada 2014 dan melahirkan tiga anak di negara itu.

Wandy bertanggungjawab merekrut ahli-ahli baru Daish dari Malaysia dandalang bagi serangan pertama Daish di Malaysia.

Serangan bom tangan di luar kelab malam Kuala Lumpur itu mencederakan lapan orang pada Jun 2016.

Bagaimanapun anak-anak Muhammad Wanndy terbunuh selepas sebahagian daripada rumah mereka runtuh akibat letupan bom ketika pertempuran di Hajin, Syria pada 9 November tahun lalu.

Nur Mahmudah kemudian berkahwin dengan seorang pejuang Daesh dari Belgium dan kini berada dalam tahanan bersama anak kecil hasil perkahwinan dengan suami baharunya.

Berita berkaitan:

  • Strategi baharu militan
  • PDRM sahkan Muhamad Wanndy terbunuh
  • Terpengaruh dengan janji manis
  • Video dirakam Mohd Faris
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 4:07 PM