Khalid mengesahkan Muhamad Wanndy (kiri) terbunuh dalam serangan di Raqqa, Syira, 29 April lalu.
Khalid mengesahkan Muhamad Wanndy (kiri) terbunuh dalam serangan di Raqqa, Syira, 29 April lalu.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ketua Militan Malaysia berpangkalan di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi terbunuh dalam serangan di Raqqa, Syira, 29 April lalu.

Pengesahan itu dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi status akaun Twitternya, 8.51 malam tadi.

Beliau berkata, selepas meneliti maklumat risikan yang diperoleh, polis mengesahkan Muhamad Wanndy yang turut menggunakan nama Abu Hamzah al-Fateh terbunuh dalam serangan berkenaan.

Berita mengenai kematian Muhamad Wanndy dilaporkan media selepas isterinya, Nor Mahmudah menulis status di laman sosial Facebook miliknya memberitahu suaminya meninggal dunia dalam serangan itu, sejak hujung bulan lalu.

Muhamad Wanndy yang melarikan diri ke Syria pada Januari 2015 kini menjadikan negara bergolak berkenaan sebagai pangkalan sebelum didakwa mengeluarkan arahan kepada pengikutnya di Malaysia.

Beberapa bulan selepas menyertai satu daripada ratusan kumpulan pejuang di negara itu iaitu Khatibah Nusantara, Muhamad Wanndy mula popular selepas pembabitannya dalam video penggal kepala seorang warga Syria pada Mei tahun lalu yang dikongsikannya di FB.

Selepas kematian Mohd Lotfi Ariffin, 48, dan pimpinan lain dari Malaysia yang berada di Syria, Muhamad Wanndy yang juga anak muda kelahiran Alor Gajah, Melaka, dikatakan 'diangkat' sebagai ketua anggota militan Daish cawangan Malaysia di Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 10:02 PM